Klinik Usahawan Tani
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
agro@utusan.com.my
Seorang mentor (kanan) sedang memberi
penerangan berkenaan tanaman sayur-sayuran yang menggunakan kaedah
hidroponik kepada peserta.
Kerajaan menerusi pelbagai agensinya sedang giat meningkat dan
memajukan sektor pertanian terutamanya bagi menarik semula minat
golongan belia dalam menceburi sektor tersebut.
Oleh itu, inisiatif Kelab Usahawan Tani Malaysia (Kuat) yang
menganjurkan Klinik Usahawan Tani Malaysia baru-baru ini dilihat sebagai
senada dan seirama dengan hasrat kerajaan untuk menjana transformasi
pertanian menerusi pengetahuan.
Menurut Setiausaha Kehormatnya, Zahari Abu Yazid, Kuat merupakan
badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 2002 bernaung Lembaga
Pertubuhan Peladang (LPP), ementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sebagai sebuah NGO yang berasaskan pertanian, peranan utama Kuat
adalah menyatu dan memperkasakan tenaga usahawan tani ke arah
merevolusikan sektor pertanian.
Selain itu kita turut membantu usaha transformasi bagi melahirkan
lebih ramai usahawan tani yang berdaya saing, tahan dan berjaya,"
katanya pada majlis pelancaran klinik tersebut di ibu negara baru-baru
ini.
Beliau berkata, usaha Kuat mengadakan program Klinik Usahawan Tani
Malaysia bertemakan Landasan Menuju Kejayaan di ibu pejabat Lembaga
Pertubuhan Peladang (LPP) itu merupakan sebahagian daripada matlamat
penubuhan kelab berkenaan.
Program yang dimulakan sejak tahun 2005 itu diminati oleh ramai bakal
usahawan tani serta usahawan tani baharu yang memerlukan bimbingan
daripada usahawan tani berjaya serta berpengalaman sebagai mentor.
Jelas Zahari, untuk berjaya, seseorang usahawan tani bukan sahaja
perlu menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan memilik jaringan yang baik,
malah khidmat sokongan juga amat penting.
Oleh itu, program Klinik Usahawan Tani Malaysia ini diwujudkan bagi
menemukan usahawan tani baharu dengan usahawan tani yang telah berjaya.
Ini penting bagi mendapatkan pandangan dan berkongsi pengalaman serta
pengetahuan, katanya.
Bendahari Kehormat dan pengarah program klinik berkenaan, Aminuddin
Mohamad pula bersetuju bahawa klinik tersebut akan bergerak seiring
dengan program kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada masa
akan datang.
Sebagai contoh, kita akan anjurkan bersama agensi kementerian
menerusi program sedia ada, katanya sambil memberitahu seramai 150
orang peserta dan 40 orang mentor terbabit dalam klinik tersebut.
Kuat juga kata Aminuddin, merancang untuk mengembangkan program tersebut ke peringkat negeri dan daerah.
Dalam pada itu, Pengarah Unit Agropreneur Muda dan Strategi Lautan
Biru Kebangsaan (NBOS), kementerian terbabit, Mohd. Arif Adenan
berkata, program klinik tersebut amat relevan kepada golongan belia yang
baharu berjinak-jinak dalam bidang pertanian.
Tegasnya, tanpa sebarang usaha untuk membantu dan sokongan daripada
mentor yang telah berjaya, golongan muda menghadapi pelbagai cabaran
dalam pertanian dan ini dikhuatiri menjejaskan minat dan keyakinan
mereka.
Jelasnya lagi, sektor makanan pada hari ini amat penting bagi sesebuah negara terutamanya untuk menjadi negara maju.
Sesebuah negara itu tidak dikira kuat dengan hanya memiliki senjata
yang banyak dan kaya dengan emas namun kerana kestabilan sumber
makanannya (keselamatan makanan).
Tambahan pula, jika berlaku perubahan cuaca seperti apa yang bakal
kita hadapi iaitu fenomena El-Nino iaitu keadaan cuaca yang panas, ini
akan mengurangkan produktiviti pertanian," katanya.
Keadaan tersebut akan menyebabkan pengeluaran makanan berkurangan sedangkan permintaan tetap sama.
Apabila masalah tersebut berlaku, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengimport makanan bagi menampung bekalan.
Kesempatan tersebut akan digunakan oleh negara-negara pengimport
untuk menaikan harga sewenang-wenangnya dan Malaysia tiada pilihan
selain terpaksa mengikutinya.
Justeru katanya, adalah amat penting untuk negara menghasilkan
sendiri makanan dan menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor
pertanian.
Oleh itu, langkah yang sedang dilaksanakan oleh Kuat ini (program
Klinik Usahawan Tani) amat wajar dan disokong bagi mewujudkan usahawan
yang berdaya tahan dan berdaya saing," katanya.
Malah, jelas Mohd. Arif, kementerian turut mempelawa program klinik
anjuran KUAT tersebut bersama-sama menyertai program anjuran kementerian
seperti Road To MAHA dan Roadshow Agropreneur Muda.
Dalam pada itu, usahawan Farmina Bio-Plus Industries & Consultans
Sdn. Bhd., Farminah Hasan turut mengakui program klinik tersebut banyak
membuka peluang mereka mempromosikan syarikat selain membantu golongan
usahawan muda yang sedang meningkat.
Apabila kita ramai, dapat saling bantu membantu kerana setiap orang itu memiliki keistimewaan yang tersendiri," katanya.
Jelas Farminah lagi, untuk berjaya di dalam apa jua perniagaan, usaha
menimba ilmu sebanyak mungkin adalah amat penting dan perkara tersebut
memerlukan jaringan kerjasama yang luas.
Pandangan beliau turut dikongsi bersama Konsultan Pembangunan
Perniagaan, Melawati Kebab Sdn. Bhd., Nordin Mohamad, yang membawakan
konsep francais bagi membantu usahawan yang berminat untuk berniaga.
Katanya, kerajaan banyak membantu dengan menyediakan dana khas kepada
golongan muda (18 hingga 40 tahun) untuk memulakan perniagaan, cuma
mereka perlu membuat pilihan yang betul dan sesuai dengan minat.
Klinik anjuran KUAT seperti ini banyak membantu dengan membuka ruang
kepada golongan usahawan muda untuk bertemu dengan usahawan yang telah
berjaya untuk mendapatkan pandangan, bantuan dan juga bimbingan.
Mereka ini (mentor) telah lama berkecimpung dalam perniagaan,
justeru segala pahit maung telah dirasai dan pastinya setiap daripada
mereka memiliki formula khas bagi menangani sebarang cabaran yang
dihadapi," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Ladang, Malaysian Agrifood Corporation
Berhad (MAFC), Mohd. Hairulhisam Ramli, usahawan masa kini perlu lebih
kreatif dalam mengusahakan sesuatu perniagaan.
Malah, katanya mereka juga perlu lebih fleksibel dalam apa jua bidang dan keadaan.
MAFC sebagai contohnya menawarkan konsep perniagaan yang bermula
daripada mula hingga akhir di mana kita mengawal setiap pergerakan
rantaian perniagaan bermula dari ladang sehingga produk itu sampai
kepada pengguna.
Khidmat nasihat yang kita berikan adalah percuma dan KUAT
menyediakan landasan yang betul menerusi klinik ini bagi mereka
(usahawan muda) untuk menimba ilmu," katanya.
SUMBER
Klinik Usahawan Tani